Rencana : 7 Oktober 2003

 

 

 

 

 

CIPTA LELAMAN DIKIR BARAT

Oleh
Noridah Kamari
Penulis sambilan

SEDANG Tok Juara, Tukang Karut dan awok-awoknya rancak berdikir di atas pentas, Encik Eddie Iskandar Muhamad pula giat merakam aksi mereka melalui kamera dan perakam videonya.

Lebih 2,000 gambar yang dipetik kemudian ditinjau satu persatu untuk dimuatkan dalam gerbang Internet, www.dikirbarat.com.

Usaha yang dicurahkan ternyata tidak sia-sia apabila gerbang yang mencecah usia tiga tahun bulan ini, kini diiktiraf sebagai lelaman umum untuk semua aktivis dikir barat Singapura berkumpul dan berinteraksi.

Saban hari, ia bahkan menarik hampir 2,000 pelungsur. Seramai 270,000 pelungsur dari serata dunia seperti Amerika Syarikat, Italy, Canada, Jerman, Perancis, Austria, Belgium dan Jepun pula melungsurinya sejak ia dilancarkan.

Ditanya tentang usaha 'sendirian berhad' itu, Encik Eddie, yang berusia dalam lingkungan 20-an tahun dan seorang karyawan teknologi maklumat (IT), berkata:

'Minat saya yang 'terbenam' terhadap dikir barat seakan-akan hidup kembali setelah saya menonton Gema Perdana 2000 di TV.

'Saya merakamkan pertandingan itu, lalu menyiarkannya di Internet. Dari situ, ia mendapat sambutan hangat dan lama-kelamaan lelaman tersebut menjadi semacam pusat perhentian untuk aktivis dan peminat dikir barat berinteraksi.'

Selain menyediakan landasan berinteraksi, Encik Eddie juga berharap lelaman yang turut memuatkan kalendar aktiviti dikir barat setempat itu dapat menjadi perangsang untuk kumpulan-kumpulan setempat memanfaatkan Internet bagi menyebarkan maklumat.

Berbekalkan minat mereka lelaman, beliau juga dipertanggungjawabkan menyiapkan lelaman rasmi kumpulan dikir barat terbaik dalam peraduan tahun lalu.

Namun, Encik Eddie akur pengendalian gerbang itu turut mempunyai cabaran tersendiri.

Dengan wujudnya ruangan forum dan buku tetamu, Encik Eddie menemui kata-kata pedas dilontarkan antara kumpulan dikir barat atau individu tertentu.

'Saya tidak berpihak kepada sesiapa. Biasalah, ramai aktivis merupakan 'darah muda' dan mereka mungkin terlalu emosi apabila memberi pandangan.

'Tetapi mereka lupa yang pandangan mereka tidak mewakili semua yang terlibat. Jadi, saya galakkan sokongan dan kata-kata positif. Seandainya ada yang 'menjatuhkan' orang lain, saya tapis dahulu untuk memelihara imej dikir barat Singapura,' tambahnya lagi.

Sejauh ini, lebih $8,000 telah dibelanjakan untuk membangun kelengkapan gerbang tersebut.

'Semuanya saya lakukan kerana minat. Saya tidak fikirkan tentang wang. Apa yang penting ialah dikir barat setempat dapat disatukan.

'Apabila orang memberi saya sokongan dan galakan, saya rasa puas dan ada motivasi untuk memperbaiki gerbang ini. Kini, saya sedang usahakan untuk memuatkan lagu-lagu dikir barat dalam format MP3 serta segmen senikata terbaik dalam gerbang itu,' ujarnya.